Hampir setiap minggu ada owner tanya saya: "Bisnes saya untung, tapi mana duitnya?" Soalan ini wajar. Untung sepatutnya duit, kan?
Jawapannya: untung memang ada, tetapi ia tidak semestinya duduk dalam akaun bank. Untuk faham, kita perlu tengok satu penyata yang ramai owner tak pernah buka, iaitu kunci kira-kira.
Untung itu duduk di mana?
Formula asasnya mudah: Aset − Liabiliti = Ekuiti. Untung bisnes masuk ke dalam ekuiti, bersama modal. Tapi di sebelah aset, untung itu boleh berada dalam banyak bentuk: tunai, duit di bank, stok atau hutang pelanggan.
Setiap keputusan bisnes mengubah bentuk ini. Lihat contoh sebuah kedai online di bawah.
Kedai online, satu bulan
Contoh| Jualan | RM 70,000 |
|---|---|
| Kos barang dijual | (38,500) |
| Caj platform & iklan | (12,600) |
| Gaji, sewa & utiliti | (9,800) |
| Untung bersih | 9,100 |
| 1 · Beli stok baharu | (6,000) |
| 2 · Settlement belum masuk | (4,500) |
| 3 · Duit dikeluarkan owner | (2,000) |
| Perubahan baki bank | (3,400) |
Sebab 1: Untung dah jadi stok
Bayangkan tuan puan mula dengan modal RM10,000. Minggu pertama, jualan RM1,000 dengan kos barang RM500. Selepas tolak sewa tapak, upah dan marketing sebanyak RM400, untung bersih RM100. Pada ketika ini, untung RM100 itu ada dalam bentuk tunai.
Tapi bisnes perlu terus bergerak. Tuan puan keluarkan RM700 untuk tambah stok. Tunai berkurang, stok bertambah. Untung masih RM100, cuma sekarang ia dalam bentuk barang di rak, bukan duit di tangan.
Sebab 2: Pelanggan belum bayar
Jualan secara hutang dikira sebagai jualan sebaik barang diserahkan. Untung pun dikira. Tapi duitnya belum masuk.
Peniaga Shopee dan TikTok Shop alami perkara yang sama melalui settlement. Order bulan ini mungkin hanya masuk bank minggu depan, atau selepas tempoh pemulangan tamat. Untung ada atas kertas, tapi bank belum nampak.
Sebab 3: Duit dah keluar untuk perkara lain
Belanja peribadi yang dibayar dari akaun bisnes, ansuran kereta, atau owner ambil lebih daripada gaji. Semua ini tidak mengubah untung, tetapi terus mengurangkan baki bank.
Kalau ini berlaku setiap bulan tanpa rekod, tuan puan sebenarnya sedang merompak bisnes sendiri.
Satu perangkap: kos yang belum dibayar
Situasi terbalik pun boleh berlaku. Kalau bil pembekal atau sewa belum dibayar, baki bank nampak lebih tinggi daripada sepatutnya. Owner rasa bisnes mewah, padahal duit itu sudah ada tuannya.
Setiap keputusan bisnes memberi kesan kepada tunai. Untung memberitahu bisnes sihat atau tidak. Tunai memberitahu boleh bayar bil minggu ini atau tidak.
Langkah mula minggu ini
- Kira nilai stok yang ada sekarang, di kedai, gudang atau rumah.
- Senaraikan pelanggan yang belum bayar dan settlement marketplace yang belum masuk.
- Jumlahkan semua duit yang owner keluarkan dari akaun bisnes bulan lepas.
- Bandingkan ketiga-tiga jumlah itu dengan untung bulan lepas. Di situlah duit tuan puan berada.
Artikel ini ialah pendidikan umum dan bukan nasihat cukai, perakaunan atau perundangan untuk situasi khusus tuan puan. Angka dalam contoh adalah ilustrasi.