1. Home
  2. Artikel
  3. Kos & Harga
Kos & Harga

6 Kos Tersembunyi Yang Owner Selalu Lupa

Kos yang tak dibayar dengan duit tetap kos. Bila diabaikan, untung bisnes nampak lebih besar daripada realiti.

Bila owner semak penyata untung rugi, ada kos yang tiada di situ. Bukan sebab kos itu tak wujud, tapi sebab tiada duit yang keluar untuknya. Sekarang.

Kenapa kos ini terlepas pandang

Selagi orang lain yang tanggung, atau tuan puan sendiri yang buat, kos itu tak terasa. Masalahnya muncul bila bisnes berkembang dan kos itu tiba-tiba perlu dibayar.

6 kos yang wujud walaupun tak dibayar

  1. Sewa premis. Bisnes bermula dari rumah, jadi tiada sewa. Bila berpindah ke kedai, sewa terasa sangat membebankan. Ini kerap berlaku pada kedai makan yang bermula dari dapur rumah.
  2. Bil utiliti. Elektrik, air dan wifi dibayar oleh rumah, mungkin oleh pasangan. Contohnya bisnes kek dari rumah. Di premis, kadarnya lain dan bisnes perlu bayar sendiri.
  3. Gaji untuk kerja yang owner buat sendiri. Buat invois, buat quotation, bungkus barang dan hantar barang. Bila bisnes membesar dan kerja ini perlu diserahkan kepada staf, kosnya terasa seperti beban baru.
  4. Minyak dan selenggara kereta sendiri. Dulu hantar 10 kotak kek sehari dengan kereta sendiri. Setahun kemudian, 100 kotak sehari dan terpaksa guna servis penghantaran. Kos itu dah lama wujud, cuma tak pernah dikira.
  5. Selenggara premis. Ramai peniaga kedai makan bermula di tepi jalan. Tiada kos baiki tandas, paip, pintu atau dapur. Di premis sendiri, semua ini perlu dibayar.
  6. Cukai yang tak dilaporkan. Ini yang paling kerap. Selagi pendapatan tak dilaporkan, cukai seolah-olah tiada. Bila dilaporkan, ramai owner terkejut besar dengan jumlahnya.

Kesannya bila bisnes berkembang

Kalau harga jual dikira tanpa kos-kos ini, harga itu terlalu rendah sejak awal. Bisnes nampak untung masa kecil, tapi tersepit bila mula besar. Owner pula rasa berkembang itu satu kesilapan, padahal yang silap ialah kiraan kos dari hari pertama.

Kos yang tak dibayar hari ini tetap akan dibayar. Soalannya cuma bila, dan sama ada harga jual tuan puan dah bersedia.

Langkah mula minggu ini

  • Semak enam kos di atas. Tandakan mana yang sedang ditanggung oleh rumah, pasangan atau tuan puan sendiri.
  • Letakkan anggaran RM sebulan untuk setiap satu.
  • Masukkan anggaran itu dalam kiraan harga jual. Adakah produk tuan puan masih untung?

Artikel ini ialah pendidikan umum dan bukan nasihat cukai, perakaunan atau perundangan untuk situasi khusus tuan puan. Angka dalam contoh adalah ilustrasi.